Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan mengeluarkan garis panduan keselamatan di jalan raya untuk pekerja perkhidmatan penghantaran yang menggunakan motosikal, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga pengerusi majlis berkenaan berkata garis panduan yang dijangka siap menjelang hujung tahun itu dibentuk berikutan sektor perkhidmatan penghantaran seperti makanan dan bungkusan kini dilihat semakin berkembang di Malaysia.

“Garis panduan ini mengenai bagaimana bekerja dengan selamat di jalanan. Kadang-kadang kita tengok yang hantar makanan pakai selipar sahaja. Itu berbahaya kepada dia, sekurang-kurangnya dia pakai kasut yang menutup sepenuhnya untuk memastikan apa-apa berlaku, ada perlindungan terhadap kaki dia,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Pekerjaan bersama pengamal media di Putrajaya kelmarin, Mahfuz berkata kebanyakan pekerja perkhidmatan penghantaran bermotosikal itu juga tidak dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana tidak mempunyai majikan.

“Garis panduan ini akan dibuat untuk kedua-dua kategori (bekerja sendiri dan mempunyai majikan),” katanya, dengan memberikan contoh pekerja perkhidmatan penghantaran bermotosikal yang mempunyai majikan adalah mereka yang bekerja dengan syarikat pizza.

Mahfuz berkata sebuah jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan dibawah majlis itu yang melibatkan Perkeso, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi meneliti masalah dalam aspek keselamatan yang sering dihadapi pekerja perkhidmatan penghantaran. -BERNAMA