Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama-sama golongan berkemahiran serta pakar dari luar negara sebagai langkah meningkatkan bilangan tenaga pekerja mahir di Malaysia.

Menteri KSM, M. Kula Segaran berkata, sasaran peningkatan pekerja berkemahiran tempatan sebanyak 35 peratus yang telah diletakkan sebagai tanda aras dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) mampu dicapai melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dengan negara luar seperti China dan Iran.

“Adalah penting untuk mempunyai tenaga kerja terlatih dan mahir di Malaysia, yang kini hanya berjumlah 30 peratus (kurang daripada 35 peratus sasaran) tenaga buruh.

“Oleh itu, kerajaan akan bekerjasama dengan negara luar bagi memenuhi sasaran 35 peratus tenaga mahir di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bertemu Pelanggan di Pasar Komunti Sturong Kuching, semalam.

Tambah Kula, kementeriannya juga mengalu-alukan rakyat tempatan khususnya golongan pekerja berkemahiran yang berminat meningkatkan kebolehan atau mempelajari bidang kemahiran baharu dengan mengikuti program di institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di seluruh negara sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa bagi merealisasikan sasaran itu.

Kula-Segaran-Kredit-foto-KSM.jpg