Kementerian Sumber Manusia (KSM) melihat keperluan untuk meminda Akta Kerja 1955 yang perlu dipertingkatkan standard minimum pekerjaannya bagi kesesuaian perburuhan antarabangsa lebih-lebih lagi terdapat perubahan kerja melibatkan normal baharu di waktu pasca Covid-19 ketika ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia baru-baru ini berkata, antara fokus bagi pindaan Akta Kerja 1955 yang sedang diteliti adalah pengenalan cuti paterniti, peningkatan tempoh cuti bersalin, sistem aturan kerja fleksibel dan penambah baikan pelindungan bagi menangani gangguan seksual di tempat kerja.

“Selain itu, dalam memperkemas pelaksanaan waktu kerja yang lebih fleksibel untuk membantu pekerja mendapat bayaran gaji yang setimpal, kementerian juga bercadang untuk mewujudkan peruntukan baharu berhubung sistem aturan kerja fleksibel di bawah Akta Kerja 1955, bersesuaian dengan pasca Covid-19 yang mana norma baharu akan dicadangkan.

“Peruntukan ini juga akan memperincikan berhubung permintaan bertulis daripada pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja berhubung dengan fleksibiliti pekerja berkenaan termasuk jam dan hari bekerja serta tempat pekerjaan berdasarkan syarat tertentu yang dipersetujui oleh majikan dan pekerja,” katanya.

-HR HUB

Timbalan-Menteri-KSM-Kredit-foto-Haji-Awang-Hashim.jpg