Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa golongan majikan dan pekerja yang memulakan tugas bermula hari ini supaya mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan selain membiasakan diri untuk menerapkan budaya normal baharu di tempat kerja masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kepatuhan majikan dan pekerja mengikut ketetapan baharu tersebut adalah penting bagi mencegah dan mengawal ancaman Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilaksanakan.

“Antara amalan normal baru tersebut menuntut pembudayaan amalan baik, seperti melakukan saringan dan merekod suhu badan pekerja setiap kali semasa tiba dan pulang dari bekerja, dan mengamalkan jarakan sosial.

“Penyediaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan; pemakaian penutup hidung dan mulut semasa di tempat kerja serta menjaga kebersihan diri, termasuk penyediaan garis panduan kawalan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Saravanan, kementeriannya komited mempergiatkan intervensi penguatkuasaan dan pemeriksaan ke premis-premis pekerjaan bagi memastikan semua majikan menghormati dan tidak melanggar syarat-syarat SOP.

KSM-pekerja-majikan-Foto-HRhub.jpg