Majikan diingatkan supaya tidak mengambil mudah arahan kerajaan yang mewajibkan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing bagi mengekang peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya telah memainkan peranan dalam menyediakan mekanisme bagi membantu menurunkan kos saringan yang melibatkan golongan berisiko tinggi tersebut.

“PERKESO telah membeli hampir satu juta kit ujian RTK-Antigen dan jumlah itu amat mencukupi bagi menampung bilangan pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO di enam negeri yang diumumkan oleh kerajaan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Tambah Azman, aktiviti penguatkuasaan langkah pencegahan Covid-19 kini perlu melibatkan kerjasama pelbagai pihak meskipun ia diterajui oleh Jabatan Tenaga Kerja dengan penglibatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan.

“PERKESO berpendapat bahawa prinsip kepada pengurusan penyakit di tempat kerja sentiasa melibatkan tiga pihak dan sepertimana peranan kerajaan, majikan juga memainkan peranan yang penting.

“Sehubungan itu, PERKESO ingin menggesa semua pihak termasuk media, membantu dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Majikan diminta untuk membuat janji temu dengan klinik agar ujian saringan ke atas pekerja mereka dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

-HR HUB

Covid19-test-Gambar-hiasan.jpg