Teks ucapan berikut merupakan petikan pembentangan Belanjawan 2020 bagi inti pati melibatkan modal insan, buruh dan kerja yang disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat hari ini:

TERAS KEDUA: PELABURAN KE ATAS RAKYAT: MENINGKATKAN KEUPAYAAN MODAL INSAN

Tan Sri Yang Dipertua,

Pertumbuhan ekonomi yang baik sahaja tidak memadai untuk memastikan kemakmuran bersama dapat dikecapi. Malah, ianya memerlukan penyertaan semua lapisan masyarakat supaya hasilnya dapat dikongsi secara saksama. Terdapat tiga cabaran yang berkait rapat dengan pasaran buruh yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan.

Pertama, Kerajaan amat bimbang dengan peningkatan lebih daripada setengah juta rakyat Malaysia menganggur pada tahun 2018 yang mana 140 ribu merupakan graduan. Dari segi usia, sekitar 290 ribu penganggur merupakan belia berumur sehingga 24 tahun.

Kedua, jurang antara jantina dalam pekerjaan masih besar sungguhpun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dengan pelantikan wanita yang pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita tidak berubah sekitar 55 peratus, jauh daripada sasaran 60 peratus. Kajian terkini Bank Dunia merumuskan bahawa sekiranya semua halangan terhadap wanita dihapuskan, pendapatan per kapita negara akan meningkat sebanyak 26.2 peratus.

Ketiga, Malaysia terlalu bergantung kepada buruh berkemahiran rendah terutamanya pekerja asing. Tenaga buruh asing yang murah tidak menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur dalam modal dan teknologi yang produktif. Secara rasminya, sehingga akhir tahun 2018, terdapat 2.2 juta pekerja asing atau 15 peratus daripada 15 juta tenaga buruh di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlu berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing berkemahiran rendah serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri dalam memperolehi pekerja yang mencukupi dalam pasaran buruh.

Strategi 5: Meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia

Tan Sri Yang Dipertua,

#MalaysiaKerja (Malaysians@Work)

Menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi, Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Secara ringkasnya, Malaysia@Kerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif seperti berikut:

Pertama: #GraduanKerja (Graduates@Work) direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama;

Kedua: #WanitaKerja (Women@Work) bertujuan mewujudkan 33 ribu peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih. Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama. Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023;

Ketiga: #WatanKerja (Locals@Work) adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama; dan

Keempat: #PerantisKerja (Apprentice@Work) adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET. Justeru, Kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi. Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain.

Kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat adalah melebihi 90 peratus. Ini akan membina modal insan dari kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh.

Inisiatif #MalaysiaKerja akan disediakan oleh Kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja. Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain. Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350 ribu untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun. Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130 ribu orang pekerja asing. #MalaysiaKerja dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Kerajaan juga akan melaksanakan langkah-langkah selanjutnya untuk menambah baik persekitaran kerja bagi para wanita dan ibu bapa secara amnya. Sejajar dengan usaha ini, Kerajaan pada tahun 2019 telah berjaya menyediakan 66 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baharu di bangunan Kerajaan dengan peruntukan RM10 juta berbanding sasaran awal 50 TASKA. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA terutamanya di hospital dan sekolah. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1 ribu kepada RM2 ribu.

Strategi 6: Memodenkan Pasaran Buruh

Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan baharu, Kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memodenkan pasaran buruh negara dengan menambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja.

Kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa. Oleh itu, kajian semula Akta Kerja 1955 meliputi perkara berikut:

Pertama: Meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021;

Kedua: Memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2 ribu kepada RM4 ribu sebulan;

Ketiga: Menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan

Keempat: Memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina.

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Pada bulan Januari 2019, Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan. Justeru, bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama, Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020.

Tan Sri Yang Dipertua,

Meningkatkan perlindungan sosial

Seiring dengan persekitaran kerja yang sering berubah, mekanisme perlindungan sosial pekerja juga harus ditambah baik. Dalam konteks ini:

Pertama: KWSP akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan (contract for service) dan Profesional. Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum diperluaskan kepada sektor lain; dan

Kedua: Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperluaskan bagi membolehkan caruman oleh 18 kumpulan yang bekerja sendiri mulai tahun 2020, seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian

PERKESO juga akan membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos sebanyak RM500 juta di Perak, selepas kejayaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka. Pusat baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan, dengan kerjasama agensi berkaitan.

i-Suri untuk Pasangan

Pada 2019, program i-Suri telah mendapat peruntukan sebanyak RM45 juta sebagai tambahan ke atas sumbangan yang diberikan oleh suami kepada isteri yang tidak bekerja. Pada tahun 2020, program ini akan ditambah baik bagi membolehkan suami memilih untuk menyumbang secara sukarela sebanyak dua peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isterinya.

Kerajaan juga bercadang untuk memanjangkan manfaat di bawah i-Suri melalui perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO. Peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan pada tahun hadapan kepada PERKESO bagi tujuan ini.

Strategi 7: Pelaburan dalam Pendidikan dan Bakat

Mengarus perdana TVET

Salah satu bidang fokus utama dasar pembangunan modal insan adalah dengan mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Justeru, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun 2019 kepada RM5.9 bilion pada tahun 2020 bagi program TVET. Ini termasuklah:

Pertama: Memperkukuhkan lagi sinergi di antara sektor awam dan swasta menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC). Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan oleh SSDC;

Kedua: Menggalakkan kerjasama industri yang lebih oleh Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan:

• Membenarkan ILKA menggunakan lebihan hasil yang dijana daripada kursus TVET yang disediakan kepada industri untuk perbelanjaan seperti menaik taraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri; dan

• Menyediakan geran padanan berjumlah RM20 juta untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri.

Ketiga: Kerajaan akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan. Justeru, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelatih yang telah menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional pada tahun hadapan; dan

Keempat: Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan bekerjasama dengan industri untuk menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih tiga ribu belia daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pensijilan Profesional

Sebagai usaha untuk menggalakkan pembelajaran dewasa, KWSP akan memperluaskan skop pengeluaran bagi tujuan membiayai pendidikan di peringkat sijil khususnya bagi program yang diakreditasikan selari dengan aspirasi IR4.0 negara. KWSP juga sedang mengkaji untuk memperluaskan pengeluaran ini kepada ibu bapa dan pasangan pencarum. Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan geran RM20 juta yang akan dipadankan dengan peruntukan RM20 juta daripada HRDF untuk menggalakkan golongan dewasa yang bekerja menduduki peperiksaan pensijilan profesional dalam bidang kursus berkaitan IR4.0.

Belanjawan-2020.jpg