The Asia Foundation dengan sokongan geran bernilai USD3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dalam melatih kira-kira 200,000 individu dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkata, fokus program ini adalah untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras dengan visi yang ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti.

“Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50 peratus daripadanya adalah wanita.

“Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial, dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peranan yang digalas oleh semua pihak terlibat kelak diyakini mampu mencapai matlamat yang disasarkan.

“Kerjasama antara Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk ACCMSME dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF),” ujarnya.

-HR HUB