KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli yang memohon kemudahan i-Sinar di bawah Kategori 2 akan menerima pembayaran interim sehingga RM1,000 daripada jumlah keseluruhan yang dimohon bermula 26 Januari, semalam.

KWSP berkata, pembayaran interim tersebut adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ahli yang terkesan akibat peningkatan jumlah kes Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia, selain untuk membantu ahli memenuhi keperluan asas sementara permohonan mereka menjalani proses kelulusan oleh KWSP.

“Untuk mempercepat dan mempermudahkan pembayaran wang interim tersebut, KWSP hanya memerlukan ahli membuat pengisytiharan kendiri dan memuat naik dokumen sokongan di laman i-Sinar Online, isinar.kwsp.gov.my.

“Proses ini diperlukan untuk melindungi simpanan ahli daripada sebarang penipuan atau aktiviti scam.

“Bagi mereka yang sudah memuat naik dokumen sokongan mereka, pembayaran interim ini akan bermula dari 26 Januari 2021, sementara untuk permohonan baharu yang masih belum memuat naikkan dokumen sokongan yang relevan, pembayaran interim akan diproses dalam masa tujuh hari dari tarikh permohonan diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut KWSP lagi, pihaknya akan meneruskan pembayaran amaun seperti yang dimohon setelah ditolak amaun pembayaran interim tersebut apabila permohonan ahli disahkan dan diluluskan.

“Sekiranya pengisytiharan kendiri didapati tidak benar atau tidak disokong oleh dokumen yang telah dimuat naik, KWSP berhak menghentikan pembayaran seterusnya,” jelasnya.

-HR HUB