Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini meluaskan capaian Program Saringan Prihatin (PSP) PERKESO ke atas semua pekerja termasuk pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO dalam semua sektor pekerjaan di Sabah berikutan kenaikan kes Covid-19 di negeri berkenaan.

PERKESO dalam satu kenyataan berkata, bantuan PSP PERKESO ini adalah terhad kepada syarikat-syarikat yang belum pernah menggunakan kemudahan tersebut sebelum ini.

“Saringan Covid-19 boleh dibuat oleh majikan melalui dua cara iaitu melalui janji temu bersama makmal yang dilatik PERKESO atau melalui Subsidi Saringan Prihatin.

“Untuk membuat janji temu saringan Covid-19 dengan panel makmal PSP PERKESO, boleh hubungi talian 088-235241, 088-235040, atau 088-278772 bagi Kota Kinabalu, 089-757090 atau 089-757092 bagi Tawau dan 1-800-88-7171 untuk Hotline BP Healthcare,” katanya.

Tambah kenyataan itu, semua saringan Covid-19 adalah melalui janji temu sahaja dan majikan serta pekerja perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi majikan yang memilih untuk menggunakan Subsidi Saringan Prihatin pula, saringan Covid-19 ini boleh dibuat melalui makmal selain daripada panel makmal PSP PERKESO.

“Kos saringan perlu dibiayai oleh majikan terlebih dahulu sebelum majikan boleh membuat tuntutan bayaran melalui laman sesawang Subsidi Saringan Prihatin di pautan ssp.perkeso.gov.my.

“PERKESO akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan Covid-19,” jelasnya.

-HR HUB

Covid-test.jpg