Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memperkenalkan inisiatif terbaharu, TEKUN Mobilepreneur bagi meringankan beban golongan pekerja dalam operasi syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal (p-hailing) yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, agensi di bawah kementeriannya itu menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2,000 untuk modal pusingan dan baik pulih motosikal yang dilaksanakan sejak April 2020 sehingga kini melalui pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 1.0.

“Program ini diperuntukan untuk 500 pemohon terawal di mana seramai 211 pemohon dengan nilai RM394,000 yang telah diluluskan permohonan sehingga 23 Jun 2020.

“Tawaran ini dibuka kepada semua penunggang berdaftar melalui syarikat p-hailing seperti Grab, Foodpanda, Bungkusit, Lalamove, MyMakan, Zeptoekpress dan Mrspeedy,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Wan Junaidi, TEKUN juga akan melancarkan Pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0 yang meliputi pembiayaan maksima sehingga RM10,000 bagi pembelian motosikal baru dan modal pusingan di mana pemohon turut perlu berdaftar dengan syarikat p-hailing dan melepasi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Program yang akan dilancarkan pada 7 Julai 2020 ini adalah salah satu daripada usaha kerajaan dengan menggunakan dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Namun, peruntukan awal sebanyak RM1 juta telah disediakan bagi 100 pemohon awal. Tambahan 400 pemohon dengan peruntukan sebanyak RM 4 juta akan dimaklumkan,” ujarnya.

P-Hailing-Kredit-foto-MrSpeedy-Malaysia.jpg