Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang berjalan di seluruh pusat latihan GiatMara akan melalui proses penambahbaikan bagi tujuan pelarasan kesesuaian pelatih untuk menepati kelayakan pasaran kerja Revolusi Perindustrian Keempat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, keperluan melaksanakan penambahbaikan tersebut dilihat penting bagi memastikan setiap kursus dan latihan yang ditawarkan GiatMara kekal relevan dari semasa ke semasa.
“Kita dalam proses menambah baik kursus dan program yang ditawarkan di GiatMara. Hal ini kerana kita berpendapat sudah tiba masanya untuk melihat program sedia ada dapat dipastikan ia kekal relevan.
Sekiranya ada yang kurang relevan, kita akan gantikan dengan program baharu yang mengikut kehendak pasaran untuk menjamin masa depan lebih baik dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Singgah Sahur di Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah Melaka, baru-baru ini.