Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa kegagalan pembayar cukai kategori syarikat yang mempunyai tempoh perakaunan berakhir 31 Januari 2018, 28 Februari 2018 dan 31 Mac 2018 untuk mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran (TT) 2018 tidak menjadi masalah kerana mereka masih layak untuk menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, LHDN menjelaskan bahawa pengurangan penalti dari 300 peratus kepada 10 peratus atau 15 peratus mengikut fasa yang disertai boleh dinikmati pembayar cukai terlibat.

“Syarikat-syarikat ini masih lagi layak untuk menyertai PKPS, seterusnya menikmati kadar penalti yang ditawarkan ini sekiranya BNCP bagi Tahun Taksiran 2018 dikemukakan di dalam tempoh PKPS manakala baki bayaran cukai tersebut sekiranya ada, perlu dibuat sebelum program ini berakhir.

“Fasa pertama PKPS akan tamat pada 31 Mac 2019, manakala fasa kedua akan tamat pada 30 Jun 2019. Justeru itu, LHDNM menyeru pembayar cukai terutamanya pemilik akaun bank di luar negara yang mempunyai pendapatan yang tidak pernah dilaporkan kepada LHDN agar segera tampil menyertai program ini,” jelas kenyataan tersebut.

Untuk sebarang keterangan lanjut, sila kunjungi pejabat LHDN yang berhampiran atau hubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 dan 03-7713 6666. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan ke e-mel pengakuansukarela@hasil.gov.my .

PKPS LHDN.jpg