Golongan yang menjalankan pekerjaan secara persendirian terutamanya rata-rata daripada golongan pemandu teksi serta e-hailing atau Grab wajar menitikberatkan aspek keselamatan untuk mendaftar dengan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya sentiasa ingin memudahkan para pencarum yang bekerja sendiri untuk melakukan caruman PERKESO dengan jumlah skim yang ditawarkan hanyalah serendah RM13.10 sahaja.
“Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri meliputi pemandu teksi yang bekerja sendiri atau individu yang menjalankan perkhidmatan seumpamanya seperti pemandu e-hailing dan berkuatkuasa pada 13 Jun 2017 di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
“Faedah-faedah yang boleh diperolehi termasuklah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani, vokasional dan Program ‘Return to Work’ (RTW),” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook, hari ini.