Syarikat-syarikat swasta tempatan digalakkan menyertai Program Latihan Memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memberi peluang golongan istimewa tersebut menimba ilmu serta latihan sekaligus melayakkan mereka untuk diterima bekerja.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, syarikat swasta yang terlibat dalam sektor perkhidmatan secara khususnya memiliki kemahiran dalam aspek pembangunan bakat golongan OKU.

“Menerusi program ini secara tidak langsung dapat menggalakkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menceburi sektor perkhidmatan dan pada waktu yang sama membuka peluang kepada mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Selain itu, pendekatan ini juga dilihat berupaya meningkatkan tahap ekonomi negara memandangkan sektor ini menyumbang sebanyak 55 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia merupakan situasi menang-menang (bagi syarikat dan pekerja OKU), kita saling membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Porgram Latihan Memperkasa OKU di pasar raya AEON AU2 Setiawangsa Kuala Lumpur, semalam.