Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Bekerja yang termaktub untuk rujukan majikan dan pekerja di seluruh negara terutamanya sektor swasta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, garis panduan yang diterbitkan bertujuan memberi penjelasan serta mengelakkan kekeliruan tentang pelaksanaan solat pada waktu kerja di samping membina hubungan baik antara majikan dengan pekerja.

“Selalunya ini membabitkan waktu solat Jumaat. Namun, ini kes terpencil kerana majoriti majikan di Malaysia sangat prihatin dengan persekitaran masyarakat Islam dan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Bagaimanapun, ada juga berlaku kes terpencil dan walaupun sedikit, ia dikhuatiri mencetuskan suasana yang tidak sihat dan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sebelum itu berlaku, kerajaan mengambil langkah awal dengan menyediakan garis panduan ini,” katanya pada majlis pelancaran Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Bekerja di Bemban Industrial Estate Batu Gajah, semalam.

Tambah Mahfuz, majikan disarankan  memberi pelepasan waktu untuk pekerja menunaikan solat lima waktu sekurang-kurangya 20 minit bagi setiap solat dan satu jam setengah untuk menunaikan solat Jumaat bagi pekerja lelaki.