Warga Sabah dan Sarawak boleh mengukir senyum apabila Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersetuju untuk memperluaskan program latihan kemahiran percuma kepada B40 (golongan 40 peratus pendapatan rendah negara) yang akan dilaksanakan di sana pada tahun hadapan.

Pengerusi NIOSH, Alice Lau Kiong Yieng berkata, program yang dijalankan secara kerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) itu menetapkan sasaran seramai 300 peserta dari kedua-dua negeri dengan modul latihan akan dibuka secara sepenuh masa dan sambilan termasuklah penginapan dan makanan percuma serta diberikan elaun.

“Program tersebut dijalankan dengan kerjasama PSMB untuk membantu golongan B40 mendapatkan pekerjaan selepas tamat latihan.

“Golongan B40 yang telah bekerja juga boleh menyertai program itu secara sambilan bagi meningkatkan kemahiran serta merebut peluang kenaikan pangkat,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri ‘NIOSH Meet and Greet Session’ di Hotel Pullman Kuching, kelmarin.