Kementerian Sumber Manusia (KSM) menetapkan untuk melaksanakan perubahan berkaitan prosedur pengeluaran Surat Perakuan di Jabatan Tenaga Kerja setelah dimaklumkan berkenaan aduan daripada majikan mengenai proses penggantian pekerja asing (PGPA).

Menurut satu kenyataan hari ini, KSM telah memutuskan perubahan PGPA akan berkuatkuasa bermula 18 Disember depan melibatkan prosedur pada peringkat Jabatan Tenaga Kerja sahaja tanpa berlaku perubahan di Jabatan Imigresen Malaysia dan Pusat Sehenti, Kementerian Dalam Negeri yang dikekalkan.

Kenyataan yang sama turut menjelaskan bahawa surat perakuan dari Jabatan Tenaga Kerja hanya akan dikeluarkan tertakluk kepada penentuan kewujudan dan kesahihan premis majikan yang memohon PGPA.

“Surat Perakuan akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam berbanding dengan 14 hari atau lebih selepas daripada tarikh permohonan tertakluk kepada pengesahan kewujudan premis perniagaan majikan,” jelas kenyataan tersebut.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai ketetapan baharu prosedur PGPA, sila layari laman web jtksm.mohr.gov.my atau www.eppax.gov.my.

Dokumen-dan-surat-Foto-hiasan.jpg