Program Latihan Alibaba Netpreneur yang akan diadakan pada 23 Mac hingga 3 April dan 13 April hingga 24 April depan bakal menyaksikan Malaysia muncul selaku negara Asia pertama dari luar China memulakan siri program latihan tersebut susulan inisiatif Platform Perdagangan Elektronik (eWTP).
Naib Presiden Alibaba, Brian Wong, dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini mendedahkan dua sesi latihan disediakan dalam program tersebut selama 10 hari bagi setiap sesi di Ibu Pejabat Alibaba yang terletak di Hangzhou, China.
Matlamat program latihan berkenaan adalah untuk membantu golongan usahawan serta pemain inovasi digital Malaysia memafaatkan inovasi digital bagi mengubah perniagaan dan ekonomi negara.
Wong ketika merujuk kepada perjanjian eWTP dengan Malaysia berkata, Kumpulan Alibaba komited untuk melancarkan pembangunan infrastruktur eTrade dan penggunaan amalan terbaik.
“Program Latihan Alibaba Netpreneur yang dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Perniagaan Alibaba, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation Malaysia, diprogramkan untuk menampung keperluan yang berbeza bagi perniagaan yang berlainan di Malaysia, ketika mereka menyesuaikan diri dengan ekosistem digital,” jelas Wong.