Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, bermula 22 Oktober 2020 baru-baru ini hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, penutupan sementara ini adalah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan terkini untuk bekerja dari rumah di negeri-negeri berkenaan.

“Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke semua pejabat dan kaunter KWSP di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan akan dibatalkan serta merta.

“Ahli yang telah membuat janji temu di semua pejabat di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Labuan yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, KWSP turut menggesa ahli dan majikan supaya menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.

“Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet, kaunter ejen bank berdaftar dan melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP.

“Ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja,” ujarnya.

-HR HUB

KWSP-tutup.jpg