Kerajaan bersetuju membenarkan operasi sektor-sektor ekonomi yang telah mendapat kelulusan pada Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 1, 2 dan 3 untuk menjalankan kegiatan bermula 29 April 2020 (hari ini) tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing demi meningkatkan kapasiti pengendalian.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak syarikat terlibat bagaimanapun diwajibkan mematuhi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing dengan kegagalan mematuhinya akan berdepan pembatalan operasi serta tindakan undang-undang.

“Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara. Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sementara kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azmin-Ali-Kredit-foto-Azmin-Ali.jpg