Kementerian Sumber Manusia menyambut baik kaedah penggunaan teknologi dron dalam sektor pekerjaan dan yakin pengaplikasiannya tidak akan menjejaskan kebolehpasaran kerja golongan tempatan.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, kecanggihan teknologi dron yang semakin berkembang bukan sahaja mengurangkan kebergantungan majikan mengambil pekerja-pekerja asing malah turut berupaya membuka peluang kerja bagi anak tempatan yang berkemahiran mengendalikan teknologi tersebut dalam pelbagai lapangan.
“Jika kita rujuk pada zaman pengenalan internet, ramai berganggapan ia akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan sangkaan itu meleset sama sekali kerana ia sebenarnya telah melipatgandakan peluang pekerjaan.
“Saya percaya perkara yang sama juga akan berlaku setelah penggunaan dron diperluaskan terutama dalam bidang pertanian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknologi Dron di Hotel Palace of the Golden Horses, baru-baru ini.