Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada peminjam-peminjamnya yang layak.
Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan berkata, lanjutan selama tiga bulan sehingga 31 Mac 2021 itu dilaksanakan kerana terdapat peminjam PTPK yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan masih belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
“Pelanjutan tempoh penangguhan ini akan melibatkan bayaram balik pinjaman berjumlah RM9,516,798.90 dan akan memberi manfaat kepada 72,747 bilangan akaun.
“KSM amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan serta kesukaran hidup yang dihadapi oleh sebilangan penimjam PTPK yang kehilangan pekerjaan susulan pandemik Covid-19 selain bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Saravanan, penangguhan bayaran ini yang juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPK.
“Peminjam PTPK yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui borang penangguhan yang boleh diisi di laman sesawang PTPK mulai 15 Januari 2021 hingga 31 Mac 2021.
“Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut peminjam boleh mengemukakan e-mel kepada covidcarebb@ptpk.gov.my atau skillsfund@ptpk.gov.my. Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi PTPK www.ptpk.gov.my,” jelasnya.
-HR HUB