Kerajaan tidak akan berkompromi lagi terhadap majikan yang gagal mematuhi ketetapan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi kemudahan penginapan pekerja, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata, syarat Akta 446 untuk menyediakan penginapan yang selesa adalah merangkumi semua pekerja tanpa mengenal status sama ada pekerja asing mahupun warganegara tempatan.

“Saya memberi amaran kepada semua majikan supaya membela nasib pekerja dengan menyediakan tempat penginapan yang selesa dan mengikut kapasiti yang ditetapkan.

“Jika permohonan penginapan adalah untuk 100 pekerja, maka hanya 100 orang yang dibenarkan tinggal di situ,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Kementerian Kesihatan di sebuah kilang di Batu 13 Jalan Cheras, semalam.

Tambah Saravanan, mana-mana majikan yang tidak memiliki perakuan penginapan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.

“Majikan yang disabitkan kesalahan juga boleh disenaraihitamkan daripada mengambil pekerja asing,” ujarnya.

-HR HUB

Saravanan.jpg