Golongan pelatih belia yang sedang menjalani latihan praktikal di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan bakal menerima ‘imbuhan tambahan’ setelah Kabinet bersetuju untuk menaikkan kadar elaun masing-masing yang akan dilaksanakan berkuatkuasa 1 September nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jumlah elaun sebanyak RM300 yang diraih sebelum ini akan dinaikkan menjadi RM900 iaitu dengan peningkatan sebanyak tiga kali ganda setelah persetujuan mengenainya dicapai oleh kerajaan dalam sebuah Mesyuarat Khas Kabinet berkaitan belia, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar elaun bagi pelatih praktikal daripada RM1.60 sejam kepada RM5 sejam, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda. Sebelum ini bayaran elaun adalah sekitar RM300 sebulan. Ia akan dinaikkan kepada kira-kira RM900 sebulan.

“Ini satu penambahbaikan yang sangat bagus. Sebelum ini daripada tiada bayaran langsung kepada RM15 sehari dan sekarang kepada kira-kira RM45 sehari,” katanya melalui muat naik video di laman Twitter.

Syed-Saddiq-Kredit-foto-Syed-Saddiq.jpg