Inisiatif kerajaan membangunkan Digital Free Trade Zone (DFTZ) dan KLIA Aeropolis di Sepang sebagai langkah memantapkan pemasaran produk tempatan dalam platform pasaran maya atau ‘e-Marketplaces’ serantau dan global dipercayai mampu memanfaatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan penglibatan terkini mencatatkan seramai 6,229 usahawan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja membolehkan PKS menembusi pasaran eksport global malah turut mendapat kerjasama melalui penglibatan daripada kementerian serta agensi dalam pembangunan modal insan.

“Dalam memastikan pekerja tempatan dapat meraih peluang khususnya bagi pekerjaan bernilai tinggi, kerajaan sentiasa menyediakan dan melengkapi bakat dan modal insan yang mempunyai kemahiran diperlukan untuk bidang-bidang tertentu.

“Di samping program pembangunan khas modal insan yang dilaksanakan oleh badan-badan tertentu seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), SME Corp, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Alibaba, usaha-usaha-usaha berterusan ini turut dilaksanakan melalui pembangunan kurikulum, modul dan program latihan di peringkat kolej kemahiran, institusi pengajian sehingga ke peringkat pembangunan kerjaya dan profesional,” katanya dalam sidang di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Gobind-Singh-Deo.jpg