Digitalisasi merupakan perubahan yang dikaitkan dengan penggunaan teknologi digital dalam semua aspek samada terhadap individu, organisasi dan mahupun sesebuah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff turut menggalakkan syarikat menggunakan teknologi digital dalam pengurusan operasi perniagaan mereka bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing syarikat terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, teknologi digital membolehkan proses kerja dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap serta lebih fleksibel.

Sehubungan dengan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Wilayah Pantai Timur menganjurkan e-Seminar Peningkatan Produktiviti melalui Digitalisasi dan Virtual Digital Clinic yang dilaksanakan secara maya melalui platform GotoWebinar.

Antara objektif program ini adalah untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan penggunaan teknologi digital bagi membantu syarikat meningkatkan produktiviti.

Selain itu juga, tiga sesi Virtual Digital Clinic (VDC) turut dijalankan bagi memberi maklumat yang lebih mendalam dan praktikal kepada peserta berkaitan penggunaan teknologi digital.

Peserta juga dapat berinteraksi bersama-sama dengan penceramah-penceramah yang dijemput di e-seminar dan VDC tersebut.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian secara maya menerusi platform GotoWebinar, kelmarin.

Mengulas mengenai program yang dijalankan, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, e-seminar ini diadakan tepat pada masanya bagi menggalakkan pengunaaan teknologi digital dalam urusan perniagaan bagi membantu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi.

“Malah penggunaan teknologi juga dapat membantu syarikat memperolehi pulangan yang drastik dan besar dalam perniagaan mereka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Nexus Produktiviti Digital (DPN) telah diwujudkan dengan berperanan untuk mengkoordinasikan dan mempromosikan penggunaan teknologi digital yang berkesan melalui inisiatif Go Big With Digital dengan memberi kesedaran, meningkatkan pemahaman dan memudahkan penggunaan teknologi digital.

-HR HUB

Go-digital-Gambar-hiasan.jpg