Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab strategik Digital Business Solutions bagi British American Tobacco (BAT), menyokong operasi global terutamanya di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika (APMEA).
BAT Digital Business Solutions di Kuala Lumpur (BAT DBS KL) meraikan ulang tahun yang ke-25, menandakan pencapaian penting dalam proses transformasinya, dengan tumpuan untuk memupuk inovasi, kecekapan dan pengasahan bakat.
Menurut Emmanuel Vaubourg, Pengurus Besar bagi IDT Kuala Lumpur dan Ketua Perkhidmatan Teknologi Global – BAT, penyelesaian inovatif entiti tersebut memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan.
“Sejak penubuhannya, BAT DBS KL telah menjadi hab penyelesaian penting untuk menerajui transformasi digital BAT dalam membangunkan ‘A Better Tomorrow’, menerusi keupayaannya yang pelbagai untuk membina perniagaan berbilang kategori yang lebih kuat, ringkas dan pantas,” ujarnya.
Sementara itu, Shahid Afzal, Pengurus Besar GBS Malaysia dan Ketua Kewangan Global – BAT berkata, dengan memanfaatkan kepakaran teknologi canggih dan peluasan penawaran perkhidmatan, syarikat ini menyokong persekitaran perniagaan BAT yang dinamik dengan berkesan.
“Di samping itu, sumbangan BAT DBS KL kepada ekonomi Malaysia telah pun melangkaui RM1.6 bilion sepanjang lima tahun yang lalu, meneguhkan lagi peranan pusat ini dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pendigitalan di negara ini.
“Dengan tumpuan kepada automasi dan analisis data, kami memperkukuh pasukan kami dengan pandangan berdasarkan data untuk memberikan penyelesaian digital yang meluas. Hab yang menyokong operasi global ini meliputi lebih 63,000 pengguna akhir di seluruh dunia, di samping lebih daripada 1,500 aplikasi serantau dan global,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi pelaburan dalam modal insan di Malaysia, BAT DBS KL telah mewujudkan peluang pekerjaan dan mengutamakan pembangunan kemahiran, yang menyaksikan pertambahan lebih 30 peratus dari segi pengembangan kakitangan sejak 2019.
-HR HUB