Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memberi bantuan kepada majikan-majikan industri sarung tangan getah dalam menjalankan audit pematuhan sosial yang komprehensif sejajar dengan piawaian antarabangsa sebelum ia dikuatkuasakan pada 2021, kata Menterinya M. Kula Segaran.

Beliau berkata berikutan larangan oleh pihak Amerika Syarikat (AS) yang menyekat import sarung tangan getah daripada WRP Asia Pacific Sdn Bhd kerana disyaki menggunakan buruh paksa, usaha untuk mematuhi undang-undang antarabangsa perlu dimulakan segera.

“Saya telah berunding dengan pihak industri tahun lepas dan memberi amaran tentang kesan buruk (penggunaan) buruh paksa,” katanya pada sesi dialog awam (town hall) dengan pemain industri sarung tangan getah di Putrajaya hari ini.

Pada 1 Okt, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan ia telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara setelah disyaki menggunakan buruh paksa.

Sekatan itu turut melibatkan import sarung tangan getah oleh WRP Asia Pacific kerana dipercayai syarikat itu terlibat dalam buruh paksa.

Tahun lepas, pembuat sarung tangan Malaysia Top Glove Corp Bhd dituduh oleh berita United Kingdom mengenai penggunaan buruh paksa.

“Walaupun kerajaan telah meluluskan laporan audit pematuhan sosial bebas oleh setiap pemain industri dan ia merupakan syarat sebelum memohon pekerja asing yang akan dilaksanakan pada 1 Jan 2021, saya fikir ia pasti (bahawa keperluan itu) dilakukan sendiri hari ini,” katanya.

Kula Segaran berkata industri terbabit tidak seharusnya menunggu sehingga 2021 kerana ia merupakan isu yang mendesak pada masa ini.

-BERNAMA

Kula-Kredit-foto-KSM.jpg