Majikan yang mempunyai kadar bilangan pekerja mengikut syarat dan ketetapan yang telah ditentukan oleh kerajaan boleh memohon Program Subsidi Upah bagi pekerja masing-masing dengan jumlah baharu yang akan diterima oleh setiap pekerja kini dinaikkan sehingga RM1,200.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PRIHATIN PKS) berkata, Program Subsidi Upah tersebut melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM7.9 bilion dengan nilai keseluruhan RM13.8 bilion membabitkan kira-kira 4.8 juta pekerja di seluruh negara.

“Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah antara RM600 hingga RM1,200…

“Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya pada pengumuman tersebut di Putrajaya, semalam.

Subsidi-Upah-Gambar-hiasan.jpg