Pelaksanaan Progam Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pada tahun ini akan diteruskan melalui inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan suntikan dana RM20 juta, kata SME Corp Malaysia (SME Corp).

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu menerusi satu kenyataan menjelaskan bahawa kaedah latihan TUBE tahun ini yang diolah secara dalam talian akan memakan tempoh latihan yang lebih singkat iaitu tujuh hari di samping modul latihannya ditambah baik supaya lebih jelas, mudah difahami dan boleh dipraktikkan terus selepas peserta menamatkan latihan.

“Di bawah inisiatif PENJANA ini, keutamaan adalah kepada pemohon yang telah diberhentikan kerja namun berminat menjalankan perniagaan sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Sejumlah 250 peserta disasarkan untuk dilatih menggunakan dana di bawah inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program TUBE telah berjaya melatih seramai 5,766 belia bumiputera yang mana 4,952 iaitu 99 peratus daripadanya telah memulakan operasi perniagaan dalam pelbagai bidang sehingga kini.

“Program TUBE juga telah mencatatkan jualan terkumpul berjumlah RM127.17 juta dan mewujudkan 10,540 peluang pekerjaan baharu termasuk untuk peserta program TUBE itu sendiri,” jelasnya.

Belia yang berminat untuk menjadi usahawan boleh memohon program ini sebelum tarikh tutup permohonan pada 25 Oktober 2020 melalui laman sesawang tube.smecorp.gov.my.

-HR HUB