Kerajaan bakal mendirikan pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baharu yang serba canggih dilengkapi dengan kemudahan teknologi di negeri Perak dan ia dijangka siap dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata, pusat rehabilitasi kedua di Malaysia yang turut berfungsi sebagai Pusat Robotik Negara itu didirikan bagi memberi infrastruktur yang lebih khusus kepada Orang Berinsurans PERKESO selain memendekkan jarak perjalanan mereka yang ingin mendapatkan rawatan.

“Pembangunan kemudahan baharu di Perak itu kelak akan menjadi sebuah pusat rehabilitasi yang lebih baik dan canggih dari aspek kemudahan dan perkhidmatan untuk Orang Berinsurans menjalani rawatan.

“Pembinaan ini akan disegerakan secepat yang mungkin memandangkan sebahagian besar daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi di Melaka adalah dari utara,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak Melaka, semalam.

Pusat Rehabilitasi PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia, operasinya menggabungkan rawatan rehabilitasi perubatan dan vokasional.

Pusat ini, membantu Orang Berinsurans PERKESO dan golongan pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional sehingga kembali bekerja dengan keupayaan maksimum.