United Overseas Bank (UOB) melancarkan program pembelajaran dan pembangunan holistik bertajuk ‘Better U’, untuk membantu lebih 26,000 kakitangannya dalam Kumpulan ini membina kerjaya dipenuhi kejayaan dalam era digital.

Tatkala sektor perkhidmatan kewangan menjalani transformasi digital, program Better U mengesahkan lagi komitmen jangka panjang Bank untuk menyediakan kakitangannya dengan kerjaya bermakna dan untuk menyokong mereka dalam perjalanan pembangunan mereka.

Program Better U mengenal pasti lima kecekapan utama yang penting untuk kakitangan UOB agar kekal relevan pada masa depan. Melalui kursus asas selama 12 minggu, semua kakitangan UOB akan melengkapkan modul yang bertujuan untuk menggalakkan set minda pertumbuhan, membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah yang rumit selain memperoleh kemahiran dalam bidang inovasi digital, reka bentuk berpusatkan manusia dan data.

Ketua Sumber Manusia Kumpulan UOB, Dean Tong berkata, “Untuk membantu kakitangan kami mencari tempat mereka dalam persekitaran yang mana kerja ditransformasi oleh teknologi dan jangkaan pelanggan, kami mereka bentuk program Better U untuk memupuk set minda yang bersifat ingin tahu dan terbuka kepada jalan baharu untuk pertumbuhan peribadi dan profesional.

“Dengan mereka bentuk program pembangunan yang holistik meliputi kemahiran insaniah dan teknikal, kami menyemai benih pembelajaran untuk mempersiapkan kakitangan kami untuk kerjaya yang penuh kejayaan dalam sebuah industri yang sedang menjalani perubahan signifikan.

“Program Better U merupakan sebahagian daripada pendekatan jangka panjang kami tatkala kami memupuk bakat kami dan memperkasa mereka untuk mengawal masa depan mereka. Melaluinya, kami berharap agar kakitangan kami akan berupaya menemui potensi penuh mereka dan bagi sesetengah kakitangan, mungkin melakar haluan baharu dalam kerjaya mereka.”

-PR NEWSWIRE