YPO, komuniti kepimpinan global yang terdiri daripada lebih 29,000 ketua eksekutif dalam 130 buah negara, menjalankan satu tinjauan semua-ahli bagi mendapatkan gambaran mengenai impak perniagaan akibat Covid-19 dan memperoleh pemahaman tentang tindakan yang diambil oleh ketua eksekutif akibat daripada realiti perniagaan baharu ini.
Tinjauan Ketua Eksekutif YPO Global baharu ini, yang dijalankan pada 10 hingga 13 Mac 2020 dan menarik lebih 2,750 responden, mendapati bahawa kebanyakan ketua eksekutif telahpun mengalami kesan negatif akibat Covid-19 sekurang-kurangnya terhadap satu aspek dalam perniagaan mereka dan lebih ramai ketua eksekutif menjangkakan hal ini menjadi semakin buruk dalam tempoh enam bulan akan datang sebelum ia menjadi lebih baik.
Perjalanan perniagaan (87 peratus), pembangunan perniagaan baharu (62 peratus) dan pendapatan (58 peratus) merupakan tiga bidang utama yang mana ketua eksekutif menyatakan kini mereka mengalami kesan yang paling besar akibat Covid-19.
Hampir semua pemimpin perniagaan (82 peratus) menjangkakan penurunan pendapatan sepanjang enam bulan akan datang, namun begitu, setahun dari sekarang, lebih daripada separuh (54 peratus) menjangkakan tiada kesan negatif terhadap pendapatan akibat Covid-19.
Sembilan puluh lima peratus pemimpin melaporkan mereka mengambil tindakan sebagai respons kepada Covid-19. Tindakan ini termasuk berkomunikasi lebih kerap dengan pekerja (68 peratus), menerima pakai prosedur kesihatan dan keselamatan baharu (67 peratus), membatalkan acara utama (64 peratus) dan menghentikan perjalanan perniagaan (53 peratus).
Ketua eksekutif, apabila ditanyakan mengenai nasihat terbuka mereka buat rakan pemimpin, berkongsi bahawa inilah masanya untuk bertenang, memberi tumpuan pada fakta, terus berkomunikasi dengan kerap bersama pekerja dan pemegang kepentingan utama yang lain, menjangkakan dan membuat rancangan untuk tempoh jangka masa pendek dan panjang serta menstabilkan rantaian bekalan.