Para majikan dan pekerja di negara ini disarankan untuk mengikuti panduan Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955 sebagai rujukan di saat Malaysia kini berdepan situasi penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Dalam satu kenyataan semalam, KSM memaklumkan bahawa pekerja dikehendaki segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada pegawai perubatan atas pembiayaan majikan seperti yang termaktub dalam Seksyen 60F.

“Tempoh kelayakan cuti sakit bergaji (tanpa hospitalisasi) juga diperuntuk selain majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan Covid-19.

“Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan,” jelas kenyataan itu.

Tambah KSM, pekerja yang diberi Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin berjalan seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955. Pada masa yang sama, majikan hanya boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak pemberhentian pekerja seperti yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan.

“Antaranya ialah mengehadkan kerja lebih masa, mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu, mengurangkan waktu bekerja harian, melaksanakan pemberhentian kerja sementara, misalnya dalam bentuk penutupan sementara dengan menawarkan gaji berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;

“Majikan juga boleh mengurangkan gaji pekerja yang dibuat secara adil di semua peringkat sebagai langkah terakhir selepas langkah-langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan,” katanya.

Untuk maklumat penuh mengenai kenyataan ini, boleh rujuk laman sosial rasmi KSM atau kunjungi laman web www.mohr.gov.my.

Majikan-pekerja-covid19.jpg