Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengambil perhatian terhadap pelbagai laporan media mengenai permohonan untuk memansuhkan semua kriteria dan syarat yang ditetapkan di bawah kemudahan i-Sinar.
KWSP berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat terhadap setiap permintaan dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa setiap proses atau perubahan dasar atau penambahbaikan akan menjalani proses pertimbangan sewajarnya dan dibentangkan kepada Ahli Lembaga KWSP untuk kelulusan.
“Berikutan itu, setiap perkara yang melibatkan isu dasar akan dibawa kepada perhatian dan untuk pandangan Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambah KWSP, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklum balas mengenai i-Sinar namun menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap kriteria semasa i-Sinar.
“Dijangkakan sebahagian besar daripada 8 juta ahli yang layak memohon di bawah Kategori 1 akan diberikan kelulusan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.
“Permohonan dalam talian akan bermula 21 Disember 2020 dan pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2021,” jelasnya.
-HR HUB