Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan pendiriannya untuk tidak mengikuti saranan mana-mana pihak sebaliknya kekal dengan polisi terdahulu iaitu membenarkan pengeluaran wang caruman ahli pada umur 55 tahun.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, sebarang cadangan melanjutkan had umur bagi pengeluaran wang hasil dari simpanan bekerja tidak pernah diputuskan kerana ia perlu diperhalusi dengan lebih teliti selain perlu mendapat persetujuan bersama pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu.

“KWSP mengambil maklum cadangan Bank Dunia untuk menaikkan had umur ahli bagi membuat pengeluaran penuh simpanan dalam Akaun Satu dan Dua KWSP daripada umur 55 kepada 65 tahun secara berperingkat.

“KWSP ingin memaklumkan kepada ahli bahawa pada ketika ini tiada sebarang perbincangan diadakan dengan mana-mana pihak untuk menaikkan had umur bagi pengeluaran tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

KWSP juga menekankan bahawa ia sentiasa mengambil langkah secara berhemat dalam menetapkan sebarang polisi penting, termasuk menjalankan kajian mendalam dan mengadakan rundingan bersama ahli serta pihak berkepentingan lain.

“Langkah ini bertujuan memastikan kepentingan ahli sentiasa dilindungi dalam melaksanakan mandat KWSP,” katanya.

KWSP-Gambar-hiasan-kredit-KWSP.jpg