Kementerian Pengangkutan mengarahkan majikan dan pekerja yang terlibat dalam operasi syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal (p-hailing) agar mematuhi garis panduan ketika bekerja sebagai usaha bersama membasmi penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, garis panduan berkaitan peraturan, kesihatan dan keselamatan kerja yang baru dilancarkan tersebut adalah penting untuk dipatuhi bagi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa penghantaran makanan dan bungkusan masing-masing selamat dan bersih tanpa risiko pencemaran dalam keadaan negara berdepan pandemik penyakit berjangkit itu.

“Semua syarikat atau individu dinasihatkan supaya mempunyai perlindungan insurans kepada penunggang dan motosikal yang digunakan berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.

“Semua operator dan penunggang hendaklah menitikberatkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan selagi mana boleh disediakan.

“Semua penunggang juga dinasihatkan untuk memakai topeng muka, menggunakan pembasmi kuman dan membasuh tangan secara kerap selepas membuat penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Wee, proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran juga perlu dilaksanakan setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Untuk maklumat penuh bagi garis panduan pengoperasian p-hailing, sila rujuk laman web rasmi serta laman sosial Kementerian Pengangkutan atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-7723, WhatsApp 019-290 7723 dan e-mel aduan@mot.gov.my.