SME Bank telah memulakan Program Penjana Komuniti@SME Bank yang merupakan satu program tanggungjawab korporat dan inisiatif di bawah Kementerian Kewangan (MOF) bertujuan merangsang kegiatan ekonomi yang terjejas di kalangan usahawan mikro B40 akibat penularan Covid-19.

Menerusi program itu, SME Bank yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bertindak mengetengahkan latihan dan bimbingan kepada usahawan terlibat untuk mengembangkan perniagaan sedia ada melalui platform atas talian serta menggunakan media sosial secara lebih tersusun dan efektif.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya telah melantik anak syarikat SME Bank iaitu Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR) sebagai penyedia latihan dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai Pengurus Projek demi memastikan objektif program tersebut mampu dicapai.

“Program latihan sesi pertama telah bermula pada 15 September sehingga 6 Oktober 2020 dan sesi latihan untuk kumpulan kedua akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.

“CEDAR juga akan memantau perkembangan dan kemajuan perniagaan para peserta latihan di sepanjang tempoh program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambah Aria, program latihan berbentuk amali ini merangkumi pembelajaran mengenai ‘Facebook Ads’, ‘Instagram Advertising’ dan ‘Website & Google Ads’.

“Selain itu, para peserta turut diperkenalkan dengan aplikasi Yezza bagi memudahkan mereka menguruskan perniagaan.

“Yezza merupakan satu platform perniagaan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menjual produk atau servis yang dapat menguruskan perniagaan secara sistematik,” ujarnya.

-HR HUB

Usahawan-mikro-Gambar-hiasan-kredit-SME-Bank.jpg