Perusahaan Malaysia perlu meningkatkan kemahiran pekerja serta mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menambah nilai syarikat dan bukan semata-mata tertumpu kepada mencari keuntungan melalui kaedah pengurangan kos, kata pakar.

Pengarah Eksekutif, Ketua Bakat dan Perniagaan Ganjaran Willis Towers Watson Malaysia, Dr Tan Juan Jim berkata langkah tersebut akan dapat menghilangkan kebimbangan di kalangan kakitangan bahawa penggunaan pendigitalan dan automasi akan membawa kepada kehilangan pekerjaan mereka.

Majikan harus mendidik dan memahamkan pekerja mengenai hala tuju syarikat, katanya kepada Bernama semasa ceramah ‘Power Talk’ yang dianjurkan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara Kuala Lumpur semalam.

Beliau ketika ditanya mengenai tahap kesedaran penggunaan pendigitalan serta Internet Pelbagai Perkara (IoT) di kalangan perusahaan tempatan, menjelaskan kesedaran mengenai perkara tersebut telah wujud tetapi mereka belum tahu untuk menarik nilai daripada pengetahuan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Peniagaan Ganjaran Willis Towers Watson Asia Pasifik, Shai Ganu berkata kaji selidik mengenai masa depan pekerjaan yang dibuat oleh syarikat berkenaan baru-baru ini mencadangkan bahawa untuk perusahaan mencatatkan kejayaan dalam era digital, perdebatan mengenai teknologi ini harus dikurangkan dan tumpuan perlu dibuat ke atas sumber insani.

“Dahulu, kita banyak tertumpu kepada buruh atau peranan manual tetapi sekarang, tanggungjawab utama Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan adalah untuk memastikan bahawa kemahiran mereka dipertingkatkan supaya mereka boleh mengambil peranan digital yang lebih besar dan lebih baik,” katanya. – BERNAMA

Perusahaan-AI-teknologi-Gambar-hiasan.jpg