Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) akan memanfaatkan peruntukan RM30 juta yang diberikan kerajaan berdasarkan Belanjawan 2020 dengan mengagihkannya kepada golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, bantuan dana daripada agensi yang bernaung di bawah kementeriannya itu merupakan alternanif baharu kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan akan disalurkan menerusi program-program latihan kemahiran bagi mereka yang berkelayakan.

“Pinjaman (PTPK) yang diberikan ialah RM3,000 dan bayaran balik bulanan ialah RM100. Sekiranya gaji mereka adalah RM1,500 bermakna ia 10 peratus gaji mereka. Pemulihannya sukar dan kami mencari mekanisme lain untuk mengatasinya dengan mengetepikan RM30 juta dan meletakkan PSMB sebagai geran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya, kelmarin.