Kerajaan telah menambah baik kelayakan bagi Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 dengan tidak lagi menetapkan hanya sektor-sektor tertentu yang boleh memohon, sebaliknya dibuka kepada semua sektor yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ke negeri-negeri serta kawasan yang terjejas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Bantuan Khas Permai semalam berkata, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja yang bergaji kurang dari RM4,000 untuk tempoh sebulan.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan turut bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” jelasnya.

-HR HUB