Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggalakkan kesemua ahlinya untuk berurusan secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu dalam mengurangkan keperluan untuk hadir di cawangan, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang semakin memuncak di Malaysia ketika ini.

KWSP dalam kenyataan berkata, beberapa langkah telah ditetapkan berikutan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan beberapa langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Bagi negeri-negeri yang melaksanakan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Labuan, serta PKP Bersyarat di Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kedah, Kelantan, Sarawak dan Pahang, semua pejabat dan kaunter KWSP akan dibuka untuk janji temu sahaja, yang boleh dijadualkan melalui Janji Temu ‘Online’ di www.kwsp.gov.my/janjitemu.

“Semua kios KWSP akan beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Tambah KWSP, ahli boleh melayari i-Sinar Online di www.isinar.kwsp.gov.my bagi permohonan Kategori 1 dan Kategori 2, semakan status permohonan, soalan lazim serta panduan pengguna untuk urusan berkaitan i-Sinar.

“Ahli boleh menghubungi talian hotline i-Sinar di talian 03-8922 4848 bagi pertanyaan umum.

“Ahli boleh menjadualkan janji temu di mana-mana pejabat dan kaunter KWSP melalui Janji Temu Online bagi urusan lain,” jelasnya.

Menurut KWSP lagi, tarikh pembayaran caruman wajib KWSP kekal pada setiap 15 haribulan.

“Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman web KWSP, perbankan internet ataupun di kaunter ejen bank yang dilantik,” ujarnya.

-HR HUB

KWSP.jpg