Kementerian Sumber Manusia mengingatkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk tidak merasa tersisih atau diketepikan dalam pasaran kerja tempatan kerana pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan sebaik mungkin bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan istimewa tersebut di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelbagai program latihan kemahiran yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan orang normal malah juga memfokuskan kepada pengkhususan khas untuk OKU.

“Kerajaan melalui kementerian dan jabatan telah mewujudkan pelbagai pusat latihan kemahiran. Di bawah Kementerian Sumber Manusia sendiri contohnya, terdapat Institut Latihan Perindustrian yang menawarkan pelbagai bidang kursus kemahiran.

“Mereka (OKU) sudah tentu mahu berdikari dan turut serta memainkan peranan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi keluarga dan negara,” katanya pada Karnival Kerjaya, Kemahiran dan Keusahawanan Insan Istimewa Peringkat Negeri Kedah 2019 di Pendang, semalam.