Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal melancarkan sebuah platform digital yang dikenali sebagai Job Portal bagi membantu golongan pencari kerja mendapatkan kerjaya impian mereka dengan lebih tepat, cepat dan berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, platform yang sedang dibangunkan itu akan dilancarkan pada Oktober depan dengan peranannya disasarkan berupaya membantu lebih 50 peratus individu pencari kerja di negara ini.

“Dalam proses pencarian pekerjaan di portal itu, mereka hanya perlu mengisi maklumat tertentu sebelum senarai kerja yang bersesuaian dipaparkan.

“Kita sedia maklum bahawa banyak portal lain juga hampir serupa. Tetapi sistem kita (Job Portal) berlainan dan jauh lebih baik daripada portal sedia ada melibatkan parameter seperti jenis kerja, lokasi, kelulusan dan jenis latihan yang diperlukan oleh pencari kerja,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Karnival Pekerjaan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) PERKESO Kedah 2019 di Aman Central Alor Setar, baru-baru ini.

Karnival-Pekerjaan-EIS-PERKESO-Kedah-Kredit-foto-Mahfuz-Omar.jpg