Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) menyasarkan platform agregator kemahiran dan pengetahuan terbesar dalam talian, e-LATiH yang disediakan secara percuma akan menarik penyertaan sehingga 2 juta pengguna menjelang hujung tahun 2021.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementeriannya telah mengarahkan PSMB untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuatnaik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.

“Ini bagi memastikan lebih daripada 1,000 kursus adalah tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.

“Menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat Malaysia terhadap jenis-jenis kursus latihan melalui carian kursus yang paling popular.

“Ini membolehkan PSMB untuk merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah Saravanan, PSMB juga akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh mereka.

“PSMB juga akan membuka platform ini kepada Penyedia Latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan secara dalam talian kepada semua rakyat Malaysia di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini.

“Selain itu, PSMB juga dalam usaha untuk memberikan sijil bertauliah dalam bentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan ini untuk mencari pekerjaan baharu,” jelasnya.

-HR HUB

e-LATiH-PSMB.jpg