Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menegaskan bahawa pembayaran gaji pekerja bagi majikan yang memohon Program Subsidi Upah hendaklah dijelaskan sepenuhnya mengikut gaji asal berikutan bantuan kewangan yang diberikan tersebut adalah berbentuk subsidi, iaitu wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Menurut kenyataan PERKESO bagi menjawab soalan lazim yang menjadi persoalan majikan dan pekerja, perkara-perkara yang dijelaskan tersebut adalah selaras dengan penambahbaikan Program Subsidi Upah seperti diumum oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin dalam Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) pada 6 April lepas.

“Majikan hendaklah membayar gaji pekerja seperti biasa dengan kadar yang sama dan kemudian mengemukakan permohonan Program Subsidi Upah kepada PERKESO. Bantuan subsidi upah yang diterima dari PERKESO adalah bantuan kewangan kepada majikan.

“Bayaran caruman PERKESO dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah wajib diteruskan berdasarkan gaji sebenar pekerja,” jelas kenyataan tersebut, kelmarin.

Untuk jawapan bagi soalan-soalan lazim lain yang berkaitan, sila rujuk laman web rasmi serta laman sosial PERKESO atau hubungi Pegawai Perkhidmatan PERKESO di talian 03-4264 5555, 03-8091 5100 dan 1-300-22-8000 serta e-mel perkeso@perkeso.gov.my.

Program-Subsidi-Upah.jpg