Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus melaksanakan komitmennya membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan melalui beberapa inisiatif di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) susulan peningkatan situasi buruk itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Ketua Pejabat SIP PERKESO, Datuk Mohd Sahar Darusman berkata, antara inisiatif tersebut adalah penawaran 250 kursus secara dalam talian di mana 75 adalah kursus latihan yang turut mengadakan penempatan pekerjaan.
“Memandangkan kebanyakan premis penyedia latihan tidak beroperasi dan ditukar kepada pusat kuarantin sepanjang PKP, PERKESO telah mengambil langkah proaktif dengan membolehkan pekerja yang telah kehilangan pekerjaan untuk menduduki latihan secara dalam talian daripada kediaman mereka.
“PERKESO menghayati norma baru ini dalam melaksanakan Dasar Pasaran Buruh Aktif, di mana PERKESO merupakan agensi pertama di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk melaksanakan program latihan dan temu duga terbuka secara maya,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Pekerja yang hilang pekerjaan dan berdaftar dengan PERKESO dinasihatkan membuat permohonan bantuan kewangan SIP dan juga mendapatkan latihan dan penempatan pekerjaan menerusi portal rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-8091 5167, 03-8091 5164, 03-8091 5162, 03-8091 5150, 03-8190 5146 atau e-mel kepada latihanvokasional@perkeso.gov.my.