Dana padanan caruman platform ekonomi gig yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah dibuka bermula Isnin lalu, 15 Jun 2020 untuk pendaftaran platform penyedia perkhidmatan gig di bawah Program PenjanaGig yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerajaan memperuntukkan geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig untuk mebiayai caruman pekerja gig di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Menerusi Program PenjanaGig PERKESO, pekerja gig mendapat perlindungan keselamatan sosial SKSPS di bawah Pelan Dua dengan caruman RM232.80 secara percuma selama setahun di mana kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus oleh platform penyedia perkhidmatan.

“Ini bermakna kerajaan menyumbang sebanyak RM163 daripada caruman setahun Pelan Dua SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, sementara platform penyedia perkhidmatan menyumbang RM69.80,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara faedah yang disediakan SKSPS PERKESO adalah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.