Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja, Penjana Kerjaya, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah pun bermula sejak semalam, 15 Jun 2020.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya menggesa individu yang masih menganggur termasuk graduan dan lepasan sekolah untuk mendaftar di portal MyFutureJobs PERKESO.

“Pencari kerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PERKESO atau hadir ke pejabat kami di seluruh negara di mana Kaunselor Kerjaya PERKESO bersedia untuk membantu.

“Bagi majikan pula, Pegawai Perkhidmatan Majikan PERKESO bersedia memberi sokongan kepada majikan yang memerlukan bantuan seperti mendaftarkan kekosongan jawatan ataupun pengambilan pekerja.

“Majikan yang mempunyai kekosongan jawatan di syarikat masing-masing, boleh mendaftarkan profil mereka di penjanakerjaya.perkeso.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Azman, PERKESO juga kini meneliti peluang berkolaborasi dengan pelbagai Agensi Perkhidmatan Pekerjaan Swasta untuk meningkatkan prospek pekerjaan untuk pencari kerja dan penganggur.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk soalan lazim di laman web rasmi PERKESO atau hubungi nombor hotline di 03-8091 5300 dan e-mel penjanakerjaya@perkeso.gov.my.

Pencari-kerja-Foto-sekadar-hiasan.jpg