Para penggiat industri tempatan diseru untuk menjalin kerjasama dan terlibat secara aktif dalam menyokong pertandingan-pertandingan kemahiran di Malaysia bagi mengukuhkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran ketika berucap mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penglibatan peserta-peserta pertandingan kemahiran yang mewakili industri dapat membantu meningkatkan kecekapan dan kualiti tenaga kerja mahir.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan industri itu sendiri. Penglibatan industri akan meningkatkan kualiti latihan dan keyakinan peserta kerana mereka akan diberi pendedahan secara langsung terhadap teknologi semasa dan keadaan sebenar dalam industri.

“Pelaburan dalam meningkatkan daya saing bakat negara akan membawa pulangan pada masa akan datang dari segi keyakinan pelabur dalam sektor industri tertentu yang mencapai kecemerlangan dalam pertandingan tersebut,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama pada pengumuman bagi penyertaan kontinjen Malaysia ke Pertandingan WorldSkills 2019 (WSC), di Kuala Lumpur Sentral, hari ini.

Kula bersama kontinjen Malaysia yang akan ke Pertandingan WorldSkills 2019 (Kredit foto KSM).jpg